MASKULIN

DR. MUHAMAD IQBAL MOHAMAD TERUS TEROKAI BIDANG BISNES

DI SEBALIK WAJAH SERIUS, PELBAGAI IDEA TENTANG DUNIA BISNES TERUS MENERAWANG DI AKAL FIKIRAN DR. MUHAMAD IQBAL MOHAMAD, 40, TANPA HENTI SAMBIL MENCARI SOLUSI BAGAIMANA UNTUK LEBIH MAJU KE HADAPAN DAN MEMANTAPKAN EKONOMI DIRI DENGAN LEBIH KUKUH. TERSENYUM DENGAN PENCAPAIAN YANG DIMILIKI HARI INI, IQBAL MENGANGGAPNYA SEBAGAI REZEKI DARIPADA ALLAH SWT, SELAIN PERCATURAN YANG DINIKMATINYA KINI ADALAH MELALUI USAHA DAN TAWAKAL YANG SECARA KONSISTEN.

MINAT LUAR BIASA TERHADAP WANG

Kongsi Iqbal, dia mempunyai minat yang luar biasa terhadap wang sejak zaman sekolah rendah lagi. Pernah dia menjual lukisan Ninja Turtle dengan harga RM0.50 sekeping sewaktu usia lapan tahun. Lantas minat itu terus mengalir dalam dirinya sehingga dewasa. Berbekalkan minat yang ada, Iqbal berjaya memupuk keberanian untuk meneroka peluang bisnes dengan lebih jauh.

Selepas menamatkan zaman universiti, Iqbal berjinak-jinak dengan perniagaan secara tidak formal terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mendaftarkan perniagaan yang diusahakannya itu secara serius. Memasuki tahun 2003, pengalaman lalunya menyaksikan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjalankan projek pengurusan acara seperti konsert kecil gig dengan lebih mantap. Selain itu, Iqbal turut membuat perniagaan berasaskan trading cosmetic bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Cabaran serta rintangan merupakan asam garam biasa yang perlu Iqbal lalui. Memahami perkara itu adalah ‘tulang’ dalam dunia perniagaan yang sebenar, setiap ujian yang diterima walaupun semakin hari semakin mencabar, Iqbal tetap teguh berpegang dengan prinsip untuk berputus asa dan tidak mengenal erti kalah. Iqbal serta rakan kongsinya meletakkan rintangan yang hadir sebagai medium utama dalam menimba pengalaman yang sukar dimiliki. Yang paling diingati, cabaran untuk memiliki modal perniagaan yang besar selain mewujudkan rangkaian pelanggan dengan baik.

JADIKAN INSPIRASI SEBAGAI IDOLA

Mengakui pernah jatuh pada 2010, Iqbal tidak mahu terus berada di paras kecundang dalam hidupnya. Berbekalkan semangat baharu, Iqbal mengambil risiko menggunakan modal simpanannya yang ada walaupun tidak seberapa untuk mengusahakan perniagaan sendiri. Bermula dari situ juga, Iqbal terus mengorak langkah berani dan kini, Iqbal mampu berbangga kerana berpeluang menguruskan Qew Group Berhad yang memiliki tujuh anak syarikat di bawahnya dengan pelbagai kemahiran.

Iqbal menjadikan inspirasi yang ditemuinya sebagai satu idola dalam hidup. Dan menariknya, inspirasi tersebut datang daripada pelbagai individu yang berkecimpung dalam pelbagai industri.

Dari segi pembacaan, Iqbal suka merujuk buku tulisan Howard Hughes yang berjudul The Secret Life, Will Smith (The Pursuit Of Happiness) dan Abdul Rahman Bin Auf (Sahabat Nabi). Melalui pembacaan juga, Iqbal percaya bahawa minat terhadap dunia usahawan dapat dipupuk menerusi bakat serta daya saing yang tinggi. Tidak semestinya mereka yang tiada pendidikan tinggi tidak boleh beriaya dalam hidup.

LAMPU ANTARA PROJEK TERBESAR

Berdasarkan track records Qew Group Berhad dalam bidang pengurusan acara yang melibatkan pengurusan audio dan pencahayaan, Perbadanan Putrajaya telah memanggilnya untuk mengikuti satu sesi taklimat. Dalam taklimat itu, Perbadanan Putrajaya memberi satu tawaran sebut harga yang cukup unik kerana ia melibatkan penceritaan tentang sosial, budaya dan adat resam yang ada di Malaysia.

Iqbal melihat permainan lampu yang diinginkan Perbadanan Putrajaya memiliki kekuatan yang tersendiri. Iqbal balik ke pejabat, kumpulkan pasukan seramai lima orang dan terus mulakan proses kajian serta pembangunan (R&D). Walaupun memakan masa hampir tiga bulan, projek Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) sah menjadi milik Qew Group Berhad dan karyanya menerima pujian ramai.

Antara cabaran sewaktu berdepan dengan klien adalah klien tidak mampu menggambarkan keinginan mereka secara visual namun, Iqbal dan rakan sepasukan perlu memahami visi dan misi tersebut serta visualkannya dengan baik. Mengambil contoh projek LAMPU, walaupun memerlukan kerja keras yang berganda namun alhamdulillah selepas try and error untuk beberapa kali, LAMPU menjadi projek mapping pencahayaan yang terbesar di Malaysia untuk pertama kalinya.

TIP MAHU BERJAYA

Iqbal berpendapat untuk memiliki apa yang dia ada hari ini bukanlah sesuatu yang cukup mudah. Memang perlu ada usaha dan keinginan yang sangat kuat untuk memastikan seseorang itu berada di tahap yang tertinggi. Selain cekal dan tidak berputus asa, Iqbal sering memastikan kegagalan yang dihadapi mampu dipositifkan semula sebagai punca kejayaan dan perlu bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.

Walau apa-apa pun, segala projek atau pelanggan yang diterima adalah bergantung kepada cara membawa diri. Ujar Iqbal, first impression adalah sangat penting sewaktu berdepan kali pertama dengan golongan ini kerana mereka adalah punca rezeki. Di mata orang juga, faktor kekemasan dan kebersihan diri adalah perkara utama yang perlu ditonjolkan malah dalam agama Islam sendiri pun, kita diharuskan untuk menitik beratkannya sepanjang masa.