REMAJA

IQBAL MOHAMAD

Tidak Gentar Terokai Dunia Baru

Bermula daripada minat menganjurkan acara gig muzik secara kecil-kecilan, Muhamad Iqbal Bin Mohamad kini merupakan antara pelopor terawal dalam bidang penganjuran acara pemetaan cahaya di Malaysia.

Berbekalkan cita-cita, inovasi, sikap optimis dan percaya pada bakat sendiri, tiada apa yang dapat menghalang langkah Iqbal yang seterusnya.

Latar belakang.

Saya merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif di Qew Communications Sdn. Bhd. sebuah syarikat pengurusan dan penganjuran acara, juru runding dan pengelola program. Saya menubuhkan syarikat ini pada tahun 2013 sambil turut dibantu isteri dan rakan terdekat. Walaupun baru berusia tiga tahun, namun syarikat kami telah menjadi antara syarikat pengurusan acara terbaik khususnya dalam bidang pemetaan cahaya di Malaysia.

Bidang pemetaan cahaya.

Perbadanan Putrajaya telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk menjayakan Putrajaya Lighting Festival 2013 (PLF). Ketika itu, kami hanya ada masa tiga minggu untuk melaksanakan projek tersebut. Pada tahun 2014 pula, saya ke Australia bagi mengikuti Vivid Festival, sebuah konvensyen pemetaan dan elemen dekorasi cahaya di peringkat antarabangsa. Dari situ saya banyak belajar perkara baru dengan modul yang lebih hebat. Sekembalinya saya ke Malaysia, kami diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan, edisi PLF seterusnya yang dijenamakan semula sebagai ‘Light and Motion Putrajaya’ (LAMPU 2014). Ia telah diktiraf antara festival terbaik di rantau Asia Tenggara dan telah berjaya menarik lebih 500,000 orang pengunjung. LAMPU 2014 juga telah mendapat pengiktirafan oleh Malaysian Book of Records untuk rekod The Largest Light and Motion Event.

Bibit permulaan minat.

Ia bermula sejak saya kecil lagi. Pada ketika itu, ayah selalu membawa saya ke acara-acara sukan, hiburan dan program rasmi kendaliannya. Ketika berada di universiti, saya mula berjinak-jinak dengan penganjuran gig muzik secara kecil-kecilan bersama bandmate, dari situ saya mula belajar selok-belok bagaimana untuk mengendalikan pengurusan acara.

Ilham Qew Communications.

Sebelum menubuhkan syarikat ini, saya telah pun terlibat dalam bidang perniagaan selama 8 tahun. Dari situ saya belajar dan menimba pengalaman daripada senior saya. Kami di Qew Communications merasa puas terutamanya apabila program kendalian kami berjaya dan mampu menggembirakan pelbagai pihak. Walaupun penat tetapi bagi saya, itulah pemangkin untuk kami terus bertahan dan bergerak ke hadapan.

Cabaran utama.

Sebagai syarikat baru, cabaran utama pastilah dari segi kewangan. Pada tahun pertama, kami bermula dengan modal yang kecil dan dalam masa yang singkat kami berjaya menghasilkan pendapatan yang berganda. Saya juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan staf teknikal dalam bidang pemetaan cahaya. Tak ramai yang mempunyai skil dan pengalaman dalam bidang ini terutamanya bagi kegunaan outdoor.

Rahsia kejayaan.

Saya membina sebuah syarikat dengan asas persahabatan yang cukup kuat. Syarikat kami memberi kebebasan kepada pekerja untuk berkongsi idea, masa kerja yang bebas dan rang komunikasi yang efisien. Pendek kata, kami merupakan sebuah syarikat muda yang terbuka dan mempunyai aspirasi tersendiri.

Sokongan berterusan.

Sokongan keluarga, pekerja, rakan kongsi dan kawan-kawan sentiasa menguatkan semangat saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Putrajaya, Dato’ Fadlun Bin Mak Ujud, Tengku Ainan Binti YTM Tengku Ismail Shah, Jamal Nasir Bin Ali, Khairul Faizi Mohd Khorish dan Amran Bin Mohd yang berterusan memberi peluang dan kepercayaan kepada Qew Communications.

Qew Communications dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sejak tahun 2013 hingga 2015, kami banyak menumpukan kepada pengurusan acara. Bermula 2016 bagi saya adalah fasa kedua bagi syarikat ini di mana saya ingin mengembangkan Qew Group kepada cabang baru seperti Qew Adz Network, Qew Technologies (M) Sdn Bhd, Bizarreka dan lain-lain bidang seperti teknologi, peruncitan, penyiaran dan pelbagai skop industri berbeza.

Kepada remaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini…

Kamu perlu ada minat dan kesungguhan. Selain itu, kamu perlu ada semangat untuk sentiasa belajar perkara baru dari semasa ke semasa. Penting juga untuk memberanikan diri, mengambil risiko dan sentiasa bersikap positif.